Kemeriahan bertambah apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut berkenan mencemar duli merasmikan taman tema yang beroperasi di kawasan seluas lebih 30 hektar itu. Turut mencemar duli adalah Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Malah, Najib turut mengumumkan berita gembira dengan pemberian tiket percuma ke Legoland Malaysia bernilai RM500,000 kepada 4,545 pelajar dari 15 sekolah dan tiga rumah kebajikan sekitar Johor.
Jana kekayaan negara
Memaklumkan perkara itu dalam ucapannya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), turut menegaskan usaha pembangunan Iskandar Malaysia dijalankan berdasarkan prinsip dan inspirasi untuk menambah serta mencipta nilai menjana perkembangan kekayaan negara.
Beliau berkata, Legoland Malaysia contoh terbaik dan pemangkin projek berimpak tinggi di bawah Iskandar Malaysia yang mampu memacu perkembangan ekonomi negara dan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi Johor umumnya melalui peluang pekerjaan, program latihan serta pembangunan tenaga kerja yang dibiayai kerajaan.
Ekonomi lebih kompetitif
“Adalah menjadi hasrat kerajaan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif selain menarik lebih banyak pelabur ke negara ini. Iskandar Malaysia contoh terbaik perancangan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak pelaburan.
“Bukan saja Legoland Malaysia, selepas ini pelbagai projek berimpak tinggi akan dibangunkan seperti Mall of Medini, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour dan hab pendidikan Educity,” kata Perdana Menteri.
Legoland Malaysia yang juga taman keenam seumpama itu di dunia dan pertama di Asia, dimiliki bersama Themed Attractions and Resorts Sdn Bhd (TAR), Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Merlin Entertainments Group.
No comments:
Post a Comment