Wednesday, January 29, 2014

HIJRAH : PERISTIWA DAN KEPENTINGANNYA

ISI KANDUNGAN

ISI KANDUNGAN
1.0  Pengenalan                                                                                                          2
2.0  Pengertian Hijrah                                                                                               4
3.0  Faktor-faktor Hijrah                                                                                          6
4.0  Peristiwa Hijrah                                                                                                  9
4.1  Rasional Hijrah Zaman Rasululullah SAW dan Tahap Hijrah         9
4.2  Tugasan dalam Kronologi Peristiwa Hijrah                                         10
5.0  Kepentingan Hijrah                                                                                            15
6.0  Kesimpulan                                                                                                          19
BIBLIOGRAFI                                                                                                         20
LAMPIRAN














1.0  Pengenalan

Peristiwa hijrah telah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW berjaya menjejakkan kakinya di bumi Madinah pada 16 Rabiul Awal, bersamaan 20 September 622 Masihi. Justeru, bagi sejarawan dan ulama Islam, peristiwa itu menjadi garis pemisah antara ‘zaman Makiyyah’ dan ‘zaman Madinah’.
Jika di Mekah, umat Islam diditekan dan ditindas tetapi di Madinah pula umat Islam berjaya menjadi umat yang cemerlang dan dihormati. maka Saidina Umar Al-Khatab r.a. telah menjadikannya sebagai asas untuk melahirkan kalendar Islam  yang dikenali sebagai Tahun Hijrah (Hijriah). Pada hakikatnya, kelahiran kalender Islam itu adalah kesan daripada sebuah peristiwa sejarah yang penuh hikmah. Ia memiliki kedalaman agama kerana hijrah merupakan perintah Allah yang menuntut kesabaran dan pengorbanan yang mulia.
Tidak dinafikan bahawa hijrah mengandungi hikmah yang terlalu besar. Tidak akan habis untuk diselongkar rahsianya dan tidak akan susut untuk digali perbendaharaannya. Penulisan ini cuba untuk mencedok hanya sekelumit daripada hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa bersejarah itu.[1]
Proses memperkenal diri yang dilakukan oleh Rasulullah kepada kabilah-kabilah pada  musim haji menjadi bukti bahawa seseorang pendakwah tidak sepatutnya membataskan dakwah mengajak manusia kepada kebaikan dalam lingkungan majlis dan persekitaran dirinya sahaja. Bahkan dia mestilah pergi ke setiap tempat manusia berhimpun atau lokasi yang berkemungkinan mereka berhimpun. Dia juga tidak sepatutnya berputus asa dengan penolakan mereka daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang Allah menyediakan untuk beliau, penyokong-penyokong yang beriman dengan dakwahnya yang baik, padahal dia tidak pernah terfikir dan menjangkakannya. Kadang-kadang kelompok kecil yang mendapat hidayah hasil usaha beliau dalam beberapa sempena akan memainkan peranan besar terhadap penyebaran dakwah. Kelompok kecil itu juga berperanan dalam merealisasikan kemenangan akhir dakwah terhadap kejahatan dan konco-konconya.
Keimanan tujuh orang pertama Ansar yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. untuk kali pertama, telah menyebabkan kemasukan Islam ke Madinah. perkara itu memberi kesan kepada penyebaran Islam dan penguasaannya di sana. la membuka jalan kepada orang-orang mukmin yang tertindas di Makkah untuk menjadikan Madinah sebagai destinasi hijrah dan pusat mereka berhimpun. Rasulullah pula memperolehi tempat yang aman untuk membangunkan negara dan menyebarkan dakwah. Dari negara itu, para sahabat Baginda melancarkan penentangan kepada syirik dan orang musyrik. Mereka melancarkan perang dan pertempuran yang berakhir dengan kemenangan berkekalan di pihak iman dan kekalahan abadi di pihak syirik. Semoga Allah meredhai kaum Ansor, yang terdiri daripada Aus dan Khazraj. Mereka mempunyai jasa yang tidak putus-putus kepada Islam, orang Islam dan seluruh alam.[2] Semoga Allah juga meredhai saudara mereka, kaum muhajirin yang terlebih dahulu beriman sebelum mereka, serta yang telah berkorban di jalan Allah dengan segala yang berharga, baik harta mahupun kampung halaman. Semoga Allah turut memasukkan kita bersama mereka semua ke dalam syurga Ridhwan.















2.0   Pengertian Hijrah
Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Sebelum Fathu Makkah, hijrah ke Madinah, tempat terlaksananya kedaulatan Islam, diwajibkan ke atas seluruh Muslimin kecuali mereka yang mempunyai keuzuran tertentu. Selepas Makkah berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam, manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong dan mereka telah bebas melaksanakan Islam serta mendirikan syiarnya di mana jua, maka tiada lagi keperluan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda telah bersabda (maksudnya) :
“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah menyahuntnya!”
(Riwayatal-Bukhari, Muslim dan lain-lain.)

          Mujasyik bin Mas’ud dan saudaranya datang menemui Nabi Muhammad SAW dan berkata, “Kami berjanji setia untuk berhijrah”. Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya), “Telah berlalu hijrah untuk mereka yang telah melakukannya.” Mereka bertanya, “Kalau begitu kami berjanji setia untuk apa?” Baginda menjawab (maksudnya), “Untuk Islam dan jihad”
(Riwayat al-Bukhari)

              Maksud hijrah dalam nas-nas di atas ialah hijrah dari Makkah ke Madinah. Umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah kerana Makkah telah menjadi negara Islam dan tiada lagi halangan untuk mereka melaksanakan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan apatah lagi untuk mengamalkan kehidupan mengikut cara Islam yang sebenar.[3]
              Adapun mereka yang berada di dalam negara kafir yang menindas dan menghalang umat Islam daripada melaksanakan ibadah yang dituntut oleh Islam serta syiar-syiarnya, wajib berhijrah sampai bila-bila. Imam Ahmad dan lain-lain meriwayatkan daripada Abdullah bin Waqdan, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),

“Tidak terputus hijrah selagi Muslim diperangi oleh kuffar.”

            Namun sekiranya Muslim berada dalam negara kafir yang tidak memerangi Islam serta tidak menghalang orang-orang Islam melaksanakan segala syiarnya, tidak wajib berhijrah dari negara tersebut, lebih-lebih lagi berada di dalam negara yang mengamalkan dasar terbuka serta memberi peluang kepada Muslim untuk berdakwah dan menunjukkan kebaikan Islam kepada masyarakat setempat secara tidak langsung dakwah Islam dapat berkembang dengan lebih baik.[4]

            Apakah ini bermakna kita tidak perlu berhijrah lagi? Sebenarnya hijrah mempunyai dua pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani. Perkataan hijrah mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi hijrah hati bermaksud berhijrah daripada cinta kepada selain Allah kepada cinta kepada Allah, daripada ubudiah kepada makhluk kepada ubudiah kepada Allah, daripada takut, berharap dan bertawakkal kepada selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada-Nya. Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya. Dan hijrah kepada Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.





3.0   Faktor-faktor Hijrah

Bai'at Aqabah merupakan faktor utama berlakunya Peristiwa Hijrah.  Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui Bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad SAW dan orang Islam.

            Tekanan dan ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas apabila agama Islam semakin berkembang.

           Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat, baik  dengan orang Quraisy di Mekah yang telah terjalin sebelum datangnya utusan dakwah.[5]

            Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.[6]

             Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah Munawarah.
Selain dari itu, persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.

            Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi sebagai pusat perkembangan ekonomi.
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.

             Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Firman Allah Taala:
øŒÎ)ur ãä3ôJtƒ y7Î/ z`ƒÏ%©!$# (#rãxÿx. x8qçGÎ6ø[ãŠÏ9 ÷rr& x8qè=çGø)tƒ ÷rr& x8qã_̍øƒä 4 tbrãä3ôJtƒur ãä3ôJtƒur ª!$# ( ª!$#ur çŽöyz tûï̍Å6»yJø9$# ÇÌÉÈ
30.  Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.
Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah untuk menyebarkan agama Islam sebagai salah satu strategi untuk menyebarkan agama Islam.[7]















4.0  Peristiwa Hijrah

Setelah Bai`ah `Aqabah kedua, Islam mula mendapat tapak yang kukuh untuk disebarkan di tanah Arab, iaitu di Yathrib. Walaupun belum pasti dengan masa depan berhijrah ke Yathrib, namun atas keimanan yang sangat tinggi, penduduk Makkah yang beragama Islam sedikit demi sedikit telah berhijrah ke Yathrib. Risikonya terlalu tinggi. Nyawa, keluarga dan harta terpaksa dikorbankan demi penghijrahan ini.
            Banyak sekatan telah berlaku terhadap ummat Islam ketika hendak melakukan hijrah. Sekatan dilakukan kerana Musyrikin Makkah khuatir dengan dengan perkembangan Islam yang mula diterima oleh penduduk Yathrib. Antara yang masyhur diceritakan ialah bagaimana kisah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka. Iaitu Abu Salamah dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya, dan anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah. Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya. Ummu Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang ditahan oleh keluarga suaminya dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan berjalan kaki tanpa ada orang pun yang menemani mereka.

4.1  Rasional Hijrah Zaman Rasululullah SAW dan Tahap Hijrah
Hijrah pada Zaman Nabi Muhammad SAW mempunyai rasional yang tersendiri bukan seperti telahan orientalis Barat yang mentakrifkan hijrah sebagai satu pelarian untuk menyelamatkan diri.   Antara hujah untuk menyangkal telahan ini ialah  kedatangan Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya adalah atas jemputan orang Arab Madinah semasa Perjanjian Aqabah Kedua, ketibaan Nabi Muhammad SAW dan orang Islam ke Madinah disambut dengan rela dan meriah. Dari segi jaminan keselamatan Orang Islam Makkah diberi tempat tinggal dan dijamin keselamatan mereka sepanjang berada di Madinah. Selain dari itu, Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai pemimpin Madinah  dan diterima oleh semua lapisan masyarakat termasuk orang bukan Islam.

Pada hari Khamis, 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen Quraisy telah bersidang untuk berbincang bagaimana untuk terus menghentikan dakwah Nabi Muhammad SAW, bukan sahaja di Makkah malah untuk menghentikan terus dari terus merebak ke lain-lain tempat. Ini kerana mereka mulai sangat risau dengan perkembangan terbaru iaitu penghijrahan orang-orang Islam ke Yathrib dan kesediaan orang-orang Yathrib membantu Nabi. Kerisauan ini timbul kerana Yathrib merupakan lokasi strategik laluan perdagangan orang-orang Makkah. Mereka risau perdagangan mereka tergugat dan amalan sembahan berhala mereka turut terencat.[8]


            Beberapa cadangan telah dikemukakan namun ditolak oleh seorang tua yang turut serta dalam mesyuarat itu. Lelaki tua itu ialah Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najd. Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu. Iaitu agar dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh Nabi. Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja diperangi oleh bani `Abdul Manaf. Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh Nabi. Jika mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah dan pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya. Parlimen Makkah setuju sebulat suara lalu masing-masing dengan keazaman yang tinggi bersiap sedia mahu melaksanakan usul tersebut.

          
4.2   Tugasan dalam Kronologi Peristiwa Hijrah

Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi Muhammad SAW bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi SAW  berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu. Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.

            Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. 11 orang penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat tersebut.

              Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau belum. Namun, kekuasaan Allah dan peliharaan Allah terhadap kekasih-Nya mengatasi kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut. Sebelum Nabi SAW  bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin. Firman Allah Taala SWT :

$uZù=yèy_ur .`ÏB Èû÷üt/ öNÍkÉ÷ƒr& #ty ô`ÏBur óOÎgÏÿù=yz #ty öNßg»oYøŠt±øîr'sù ôMßgsù Ÿw tbrçŽÅÇö7ムÇÒÈ
9.  Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat Melihat.

            Dengan izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya. Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.

            Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya. Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak langsung Nabi Muhammad SAW seperti didakwa lelaki tersebut. Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad SAW.

              Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.
Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dengan katanya:

Demi Allah, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu.”

            Setelah keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk ke dalam gua. Nabi SAW pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu.

            Rasulullah SAW dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar). Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi SAW. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi. `Amir bin Fuhayrah pula mengembala kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu.

            Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi Muhammad SAW. Ali bin Abi Talib telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah dilempang dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi SAW. Musyrikin Mekah menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.[9]

           Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu. Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi Muhammad SAW  dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut. Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.

            Mereka berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dengan menggunakan jalan yang jarang digunakan orang. ALLAH SWT telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNya dan rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa menarik berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam apabila bertemu dengan Nabi SAW dalam perjalanan.

            Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad SAW dan rombongannya itu sampai di Quba’. Di Quba’, Rasulullah SAW singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.

            Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani Salim bin Auf. Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut. Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad SAW.

           Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi SAW di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid Nabawi.[10]

            Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih hebat.



5.0   Kepentingan Hijrah

Penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah ini menjadi satu harapan baru dalam menyebarkan agama Islam. Rasulullah SAW  sampai di Madinah pada 12 Rabiulawal 1 H. Kaum Muhajirin yang berhijrah ke Madinah pada ketika itu telah banyak mengalami  kesusahan penderitaan, penyeksaan dan kemiskinan semasa berada di Makkah. Mereka terpaksa berhijrah ke Madinah tanpa membawa keperluan apa-apa dan ianya serba kekurangan kerana mereka telah meninggalkan keluarga, harta, pangkat, dan kerajaan mereka di Makkah bagi menyelamatkan keimanan dan ketakwaan meraka untuk taat perintah Allah S.W.T. bersama kekasih-Nya Rasulullah SAW.
Oleh hal yang sedemikian, Rasulullah s.a.w. telah mengambil langkah untuk mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan Ansar. Seterusnya, Rasulullah SAW sendiri mempersaudarakan diriNya dengan Ali, Abu Bakar dengan Kharjah bin Zaid, Umar denganUtban, Abdullah bin Masu’d dengan Muaz bin Jabal, Mus’ab dan banyak lagi. Hal ini bertujuan untuk membina rasa kasih sayang antara satu dengan lain iaitu antara kaum Muhajirin dan Ansar sehingga kaum Ansar sanggup berkorban untuk berkongsi apa sahaja hak mereka sendiri dengan kaum Muhajirin kerana mengaggap diri mereka telah bersaudara.[11]
Selepas Hijrah, Rasulullah s.a.w. telah membuat satu piagam dalam pemerintahanNya iaitu dikenali sebagai Piagam Madinah atau juga sebagai ‘Sahifah Madinah’. Piagam ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kemasyarakatan yang ada di Madinah Munawarah terutamanya   kepada golongan bukan Islam yang turut tinggal di Madinah.[12] Setiap keputusan dan undang-undang yang hendak dibuat adalah berdasarkan wahyu daripada Allah S.W.T. yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dan kemudian dikenali sebagai al-Quran. Selain itu,Rasulullah SAW juga menambah serbah sedikit tentang sesuatu perkara yang ingin dilaksanakan dalam pemerintahanNya yang tidak diterangkan dalam al-Quran iaitu melalui bermesyuarat bersama para sahabat sebelum memutuskan sesuatu perkara.







Peta : Kedudukan Madinah, kerajaan Islam pertama.

Pusat pentadbiran Madinah adalah bermula di Masjid iaitu dikenali sebagai Masjid al- Nabawi yang berfungsi sebagai tempat ibadat, pusat pemerintahan, mahkamah dan sebagainya.Oleh itu, terdapat beberapa jawatankuasa yang telah diwujudkan oleh Rasululluh SAW bagi membantu dan memudahkan lagi pentadbiran Negara. Antaranya ialah wujudnya jawatankuasa Ketua Negara yang dibawah pimpinan Rasulullah s.a.w. sendiri, wujud Menteri-menteri, Hakim Mahkamah, Majlis Perwakilan dan terdapat jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam urusan-urusan eksekutif seperti Bendahari Negara, Jurubahasa dan Setiausaha Negara. Gabenor-gabenor juga turut diwujudkan di setiap wilayah Madinah, duta-duta dan Wakil Istimewa sebanyak 23 orang. Dengan ini terbukti kerajaan Madinah yang telah wujud ini adalah merupakan kerajaan Islam yang pertama dan mempunyai corak pemerintahan yang tersendiri.
Dengan penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah dan telah memperkenalkan sebuah kerajaan Islam yang pertama iaitu kerajaan Madinah. Hal ini telah mengurangkan beban Ummat Islam itu sendiri dan juga telah memudahkan Ummat Islam dalam memulakan rancangan untuk mengembangkan Islam. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan corak pemerintahan dan undang-undang yang teratur berlandaskan ajaran Islam dan seterusnya membolehkan ummat Islam untuk berkembang tanpa halangan, tekanan penindasan, dan penyeksaan sepertimana yang pernah berlaku semasa di Kota Makkah sebelum Hijrah. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa bentuk penentangan daripada Kafir Quraisy kerana masih tidak berpuas hati dengan kewujudan negara Islam tetapi bentuk penentangan sudah berubah iaitu melalui cara peperangan.Hal ini semuanya berlaku selepas Hijrah ke Madinah.
Penyebaran Islam bermula di Madinah kemudian tersebar ke Makkah dan seterusnya terus tersebar ke seluruh tanah Arab Badwi pada Zaman Rasulullah SAW. Selepas kewafatan Rasulullah SAW kejayaan ini telah diteruskan oleh Sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang dikenali sebagai Zaman al-Khurafa’ al-Rashidin. Selepas itu, diteruskan pula oleh Zaman Bani Umaiyah, Zaman Bani Abbasiyah dan Zaman Uthmaniah. Dapat dilihat pada Zaman al-Khurafa’ al-Rashidin telah berjaya meluaskan pengaruh Islam ke Syiria, Mesir, Romawi ditemur, Farsi, Iraq, Afrika di barat, Turkistan di timur. Selain dari meluaskan pengaruh Islam pada zaman ini ia juga menyebarkan ilmu pengetahuan Islam seperti ilmu sains dan matematik dan pada zaman ini bermulanya pembukuan al-Quran dibuat. 
Ekonomi Ummat Islam turut berkembang selepas Hijrah Rasulullah SAW dengan berlandaskan  sistem ekonomi menurut Islam. Dalam sistem ekonomi Islam, amalan seperti riba, penipuan, dan rasuah telah diharamkn dan penindasan juga turut dihapuskan terutamanya dalam peniagaan. Kegiatan ekonomi Ummat Islam bermula tanpa apa-apa yang dibawah ke Madinah oleh Kaum Muhajirin tetapi berkat pertolongan Kaum Ansar telah memudahkan kehidupan mereka kerana kekayaan,harta dan segala-galanya telah ditinggalkan di Makkah. Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW telah membina sebuah pasar yang berdekatan dengan pasar Yahudi Bani Qainuqa dalam memulakan kegiatan perniagaan untuk memudahkanUmmat Islam. Selain kegiatan perniagaan yang berkembang, kegiatan pertanian juga turutdiusahakan kerana tanah yang ada di Madinah subur dan memang sesuai untuk bercucuk tanam.
 Seterusnya kegiatan perdagangan telah dimulakan kerana Madinah adalah merupakankawasan yang strategik iaitu terletak ditengah-tengah laluan perdagangan antara Makkah dan Syam. Dengan itu telah wujudnya persaingan antara Ummat Islam dengan  kafir Quraisy Makkah untuk menjaga kepentingan mereka dan telah mengakibatkan tercetusnya permusuhan dan peperangan.
Sumber pendapatan negara Madinah juga berdasarkan kepada sistem pungutan cukai yang telah dipekenalkan seperti Zakat iaitu pembayaran yang wajib daripada mukmin yang bertujuan membantu golongan fakir miskin dan Sedekah iaitu menderma sesuatu dengan rela hat itanpa paksaan. Selain itu, terdapat juga cukai kepala kepada orang bukan Islam yang tinggal di Madinah yang dikenali sebagi Jizyah. Pendapatan Madinah juga adalah daripada hasil rampasan perang iaitu dikenali sebagai Ghanimah dan terdapat cukai tanah iaitu Al-Fay bagi orang Islam.Bagi orang bukan Islam pula yang mempunyai tanah dikenali sebagai cukai Kharaj.
Manakala, dalam perkembangan sistem sosial turut berubah dalam kehidupan manusiaiaitu cara kehidupan yang teruk berubah kepada cara hidup yang lebih baik selepas hijrah. Hal ini dapat dilihat semasa berada di Makkah masyarakatnya adalah hidup secara 
berkabilah dan berpuak-puak yang lebih dikenali sebagai Semangat Assobiyah. Selain itu, wujud juga suasana individu yang hanya mementingkan diri dan sebelum hijrah juga telah wujud sistem sosial yang tidak seimbang iaitu golongan atasan seperti bangsawan menindas golongan yang lemah seperti hamba. Masyarakat ini lebih mudah dikenali sebagai masyarakat yang amat jahil dan amat kurang nilai keperikemanusian sehingga terdapat segelintir daripada mereka yang  sanggup membunuh anak-anak perempuan mereka seperti menanam hidup-hidup kerana hanya semata-mata ingin menjaga nama baik keluarga dan untuk mendapatkan kepentingan kebendaan. Tetapi, kehidupan selepas hijrah telah mengubah amalan-amalan dan nilai-nilai tersebut kerana telah dihapuskan dan digantikan dengan amalan Islam yang berpandukan dengan akidah dan akhlak.Amalan seperti hidup berkabilah dan berpuak puak telah diubah dengan digantikan   kepada masyarakat yang bersatu padu dalam konteks yang dikenali sebagi Ummah. Dengan itu, telah wujudnya kebebasan dalam menjalani kehidupan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan sejahtera dan tenteram dalam kehidupan Islam.


6.0   Kesimpulan
Sokongan dan pengorbanan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abu Talib, dan Abdul Rahman bin Auf serta peranan kaum wanita dalam peristiwa hijrah banyak membantu menjayakan misi hijrah. Dalam peristiwa hijrah juga telah menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad SAW yang sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam serta tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Strategi yang dirancang sebelum memulakan proses hijrah menunjukkan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW mengatur strategi perjuangan serta dapat membina sebuah perlembagaan untuk mentadbir Madinah yang dinamakan Piagam Madinah

Penghijrahan Rasulullah SAW daripada Makkah ke Madinah pada tahun 622 M. ini terbukti bahawa telah memberi pelbagai kepentingan kepada Ummat Islam sehingga hari ini yang merangkumi semua aspek tidak kira kepentingan agama, politik, sosial dan ekonomi. Selain itu, penghijrahan ini juga telah menunjukkan bahawa tempat permulaan dalam mengembangkan Islam sebelum berkembangnya Islam dengan pesat keseluruh dunia selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 632 M yang telah diteruskan oleh beberapa zaman seperti Zaman al-Khulafa’al-Rashidin, Zaman Bani Umaiyyah, Zaman Bani Abbasiyah dan Zaman Uthmaniah. Hal ini kerana untuk membawa semua manusia mengenali, mentaati perintah dan meniggalkan larangan Allah S.W.T Yang Maha Esa yang sememangnya wajib ada pada setiap diri manusia yang dikenali sebagai Hamba daripada terus dalam kesesatan.







BIBLIOGRAFI

Abd. Rahman haji Abdullah. 1981. Sejarah Dan Pemikiran Islam. Damansara Utama: Penerbitan Pena Sdn. Bhd.
Abdul Rahman Bin Rukini. 1997. Pendidikan Sirah. Jabatan Agama Johor : Synergymate Sdn.Bhd.
Habsyi Fathullah Al-Hafnawy. 2005. Kisah dan Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publisher.
Saibon Ismail.2001. Sejarah Kehidupan Rasulullah SAW. Kota Bharu : Penerbitan JM.
Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. 2003, Biografi Muhammad Bin Abdullah.     
             Pahang DarulMakmur: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd












 
 









[1] kota sejarah.blogspot.com

[2] Selangor.ikram.org.my
[3] Selangor.ikram.org.my
[4] www.ikram.org.my
[5] Saibon Ismail. 2001. Sejarah Kehidupan Rasulullah SAW. Kota Bharu : Penerbitan JM. Hlm.24
[6] Ibid. Hlm. 23.
[7] Habsyi Fathullah Al-Hafnawy. 2005. Kisah dan Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publisher. Hlm 9-11.
[8] Abdul Rahman Bin Rukini. 1997. Pendidikan Sirah. Jabatan Agama Johor : Synergymate Sdn.Bhd. Hlm 27.
[9] Ibid. Hlm 28-29
[11] Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. 2003, Biografi Muhammad Bin Abdullah. Pahang DarulMakmur: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd., Hlm. 129-130

[12] Abd. Rahman haji Abdullah. 1981. Sejarah Dan Pemikiran Islam. Damansara Utama: Penerbitan Pena Sdn. Bhd., ,Hlm.47-48.

No comments:

Post a Comment