Sultan Ibrahim  bersama isteri, Raja Zarith Sofiah   memotong kek
 sempena meraikan ulang tahun perkahwinan baginda berdua yang ke-30  
sambil diperhatikan  Najib  pada majlis perasmian  Legoland Malaysia, di
 Nusajaya, malam tadi. Sultan Ibrahim bersama isteri, Raja Zarith Sofiah memotong kek sempena meraikan ulang tahun perkahwinan baginda berdua yang ke-30 sambil diperhatikan Najib pada majlis perasmian Legoland Malaysia, di Nusajaya, malam tadi.
Nusajaya: Majlis perasmian taman tema Legoland Malaysia di sini berlangsung meriah dan penuh berwarna warni malam tadi dengan kehadiran ribuan pengunjung yang tidak mahu terlepas peluang menjadi saksi hari bersejarah itu.

Kemeriahan bertambah apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut berkenan mencemar duli merasmikan taman tema yang beroperasi di kawasan seluas lebih 30 hektar itu. Turut mencemar duli adalah Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berada dalam senarai tetamu kenamaan.

Malah, Najib turut mengumumkan berita gembira dengan pemberian tiket percuma ke Legoland Malaysia bernilai RM500,000 kepada 4,545 pelajar dari 15 sekolah dan tiga rumah kebajikan sekitar Johor.

Jana kekayaan negara

Memaklumkan perkara itu dalam ucapannya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), turut menegaskan usaha pembangunan Iskandar Malaysia dijalankan berdasarkan prinsip dan inspirasi untuk menambah serta mencipta nilai menjana perkembangan kekayaan negara.

Beliau berkata, Legoland Malaysia contoh terbaik dan pemangkin projek berimpak tinggi di bawah Iskandar Malaysia yang mampu memacu perkembangan ekonomi negara dan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi Johor umumnya melalui peluang pekerjaan, program latihan serta pembangunan tenaga kerja yang dibiayai kerajaan.
Ekonomi lebih kompetitif

“Adalah menjadi hasrat kerajaan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif selain menarik lebih banyak pelabur ke negara ini. Iskandar Malaysia contoh terbaik perancangan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak pelaburan.

“Bukan saja Legoland Malaysia, selepas ini pelbagai projek berimpak tinggi akan dibangunkan seperti Mall of Medini, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour dan hab pendidikan Educity,” kata Perdana Menteri.

Legoland Malaysia yang juga taman keenam seumpama itu di dunia dan pertama di Asia, dimiliki bersama Themed Attractions and Resorts Sdn Bhd (TAR), Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Merlin Entertainments Group.